Ahad, 22 Jun 2008

Pemikiran Jeram Besu





Memikirkan tentang aspek falsafah dan konsep aktiviti yang telah dijalankan bukanlan perkara yang mudah. Kesukaran itu bertambah jika diminta menyatakannya dengan secara berstruktur dan terencana. Itulah yang dialami selama empat hari yang lalu (18 - 21 Jun) dalam sesi latihan berasaskan Corporate war game yang bertujuan untuk meningkatkan lagi pembinaan pasukan dalam kalangan ahli fakulti. Program tersebut dijalankan di sebuah kem latihan di Jeram Besu, Raub, Pahang.

Sejak awal lagi, pemikiran terhadap pelaksanaan dan kesan yang akan diperoleh dari program ini sentiasa diambil kira. Masa, tenaga fizikal dan mental serta kesusahan yang akan dialami bermain dalam fikiran. Rakaman dalam bentuk penulisan ini dibuat bagi memantapkan lagi kandungan aktiviti yang diberikan. Penulis beranggapan secara positif bahawa segala yang dirancang tentu mengandungi matlamat yang perlu dipenuhi.

Aktiviti yang dijalankan kebanyakannya memerlukan perserta berfikir dan bertindak bagi menyelesaikan tugasan yang ditetapkan oleh fasilitator. Yang penting peserta mengembleng tenaga untuk selesaikan tugasan tersebut dengan melakukan perbincangan antara ahli pasukan. sumber untuk menyudahkan tugasan tersebut disediakan tetapi perlu dibayar dengan nilai telah ditetapkan. Matawang yang digunakan ialah damra. perkara menarik di sini ialah falsafah yang perlu dipegang oleh ahli dalam menjayakan tugasan. tanpa perancangan yang tepat besar kemungkinan tugasan yang diberikan akan lambat disiapkan atau wang yang didiagihkan semakin merosot!

Banyak perkara menarik yang boleh disentuh berasaskan aktiviti yang dijalankan yang berkaiatan dengan perjalanan organisasi. Pemikiran yang wujud di sini ialah bila mengurus atau mentadbir organisasi, perancangan yang melibatkan penggunaan sumber yang ada dipersekitaran perlu difikirkan. Dengan ada wang, bukan bererti perlu digunakan dengan sewenang-wenangnya. Sumber tenaga manusia pula perlu diurus dengan sistematik. Jika tidak, akan berlaku pembaziran terutama jika pegawai tidak mengetahui peranan yang diberikan. Untuk berjaya juga, ketua perlu mahir mengoptimumkan sumber di samping strategi yang berkesan. Ini termasuklah mengaplikasikan kemahiran berkomunikasi secara berkesan, tidak terlalu rigid dalam membuat keputusan tanpa memikirkan kesan kepada anggota organisasi.

Tidak mudah untuk mentadbir sebuah organisasi yang di dalamnya terhimpun anggotan pelbagai ragam. Mungkin sebelum mentadbir, ahli yang berada di luar lingkungan akan menganggap kemelut dalam organisasi mudah diungkai. Tetapi jika peranan tersebut diberikan kepada seseorang, mungkin ia akan mula melakukan tindakan yang sebelum ini dianggap tidak sesuai dilakukan. Sebagai contoh, untuk melakukan keadilan, ketua perlu mengambil kira sebanyak mungkin pertimbangan yang tidak akan menjadfikan ahli tidak tersisih dari arus perdana organisasi. Dalam hal ini, keadilan menurut Majid Khadduri (1994) dalam bukunya "Konsep Keadilan dalam Islam" dengan merujuk surat oleh Khalifah 'Abd. al-Malik sebagai jawapan kepada erti 'adl adalah;

1. adil dalam membuat keputusan,
2. adil dalam pengucapan,
3. adil dalam keselamatan, dan
4. adil dalam menyamakan sifat Allah.

Di samping adil, ketua perlu memahami keperluan ahli sama ada dari segi fizikal serta emosinya. Berdasarkan aktiviti yang dijalankan, ketua perlu memikirkan kekuatan dan kelemahan ahlinya. Berikan tugas yang sesuai dengan kemampuannya. Jika tidak, akan wujud sifat rendah diri dan dipinggirkan dalam kelompoknya. Walaupun idea yang diberikan tidak sehebat mana, tetapi penghargan dan pujian perlu diberikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SAKSI ATAS DIRI SENDIRI

  Dalam bukunya, 59 Kaedah Al-Quran Untuk Jiwa dan Kehidupan, Dr. Umar Abdullah al-Muqbil (2012)  menghuraikan kaedah keempat.  Beliau meny...