Sabtu, 5 Mac 2011

Kembara Shahnon Ahmad dan ketinggian Al-Quran



Membaca karya Sasterawan Negara Dato' Shahnon Ahmad mengingatkan saya akan novel Ranjau Sepanjang Jalan. Garapannya terhadap kehidupan sukar Lahuma dan Jeha menunjukkan ketinggian nilai estetik berbahasa dan imajinasi yang tinggi. Perlukisan plot dan watak yang menonjolkan konflik manusia meneruskan kehidupan di kampung yang serba kurang mampu menarik minat untuk terus membacanya.

Baru-baru ini saya membaca karya terbaru beliau bertajuk KEMBARA SEORANG HAMBA terbitan Karangkraf (2010). Karya beliau ini sangat jauh bezanya dengan yang sebelumnya. Karya beliau ini memfokuskan Islam dalam catatan sisa hidupnya. Bisikan kalbu melalui monolog dalam dirinya yang sudah di hujung usia sangat memberi kesan kepada saya.

Menceritakan penyakit yang dideritainya Shanon mengungkapkan; "penyakit yang kuderitai ini bersaing kuat dengan ketuaan sehingga habis tenaga direntapnya. Seluruh anggota tubuh badan dilusuhkannya sehingga urat saraf dan imuniti direnggut hingga lumpuh segala anggota...Kecuali otak yang masih berdenyut, menerima dan memberi pemikiran serta hati yang masih berdegup sebagai isyarat untuk meneruskan perjalanan yang bersisa ini...Dan bila minda diserang dan hati dilanda olehnya, bagaikan benar-benar hendak dilenyapkan kewujudanku ini.. Sementara minda masih tegar berfikir dan hati masih berdegup, maka aku cuba isikan lowongan ini dengan catatan yang terilham dalam keadaanku yang serba daif ini" (ms9)

Atas kekuatan yang dimilikinya, maka ditulisnya catatan ini dan mengibaratkannya dirinya sebagai sebiji durian di hujung julai. Julai maksudnya ranting (kayu) yg hujung sekali, carang; berjulai, berjulai-julai, menjulai, ter­julai berjuntai-juntai (Kamus Dewan).

Itulah kekuatan yang dimiliki oleh insan hebat ini yang masih mampu berkarya untuk menulis catatan berkaitan hujung hidupnya secara kreatif dan penuh pengajaran. Antaranya catatannya tentang al-Quran. Tulisnya lagi;
"KHAZANAH yang seluas tujuh lautan dan tujuh lapisan langit yang kubawa (ku maksudnya al-Quran-penulis)ini banyak yang diabai dan disihkan oleh manusia. Malah, diperlakukan mengikut tuntutan hawa nafsu amarah manusia saja. Kerana sifat manusia itu sendiri yang memang tidak habis asyik membantah (Surah al-Nahli: 4)Dan sememangnya bersifat bodoh dan zalim (Surah al-Ahzab:72). DIA juga tidak akan memberi sebarang petunjuk kepada mereka yang bodoh dan zalim (Surah al-Shaf:7)"

Melalui karya beliau ini saya berfikir akan pentingnya meletakkan al_Quran di tempat yang tinggi. Bukannya tinggi letaknya hingga tak tercapai oleh tangan untuk membacanya, tetapi hakikat tinggi yang membawa maksud untuk dijadikan keutamaan dibaca, difaham dan diamalkan.

"Aku (maksudnya al-Quran) adalah cahaya yang sentiasa menerangimu supaya selamat dalam perjalanan menuju keabadian. Hidupmu langsung tidak bermakna kecuali dipimpin olehku, kepimpinanku relevan sepanjang zaman. Barakahnya sama saja seperti barakah kepada orang terdahulu dengan syarat kau mengikut perintah, menjauhi larangan, mempercayai ancaman, mengenali kiasan, memahami dan merasai bahasa figuratif, perbandingan dan alegorinya.

(Maksud 1. figuratif ialah menunjukkan makna (perkataan, rangkai kata, dsb) yg lebih abstrak atau imaginatif drpd makna biasanya, bersifat kiasan atau lambang; 2. alegori: (alégori) sesuatu karya (cerita, puisi dsb) yg menggunakan watak, peristiwa dll sbg lambang utk menerangkan (menyampaikan) sesuatu yg lebih mendalam)

Oleh itu bacalah al-Quran, fahami maksudnya dan beramal dengan kandungannya.

Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:
Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SAKSI ATAS DIRI SENDIRI

  Dalam bukunya, 59 Kaedah Al-Quran Untuk Jiwa dan Kehidupan, Dr. Umar Abdullah al-Muqbil (2012)  menghuraikan kaedah keempat.  Beliau meny...