Rabu, 5 Oktober 2011

‘Lailaha Illallah’



SABDA Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Manusia ahli ‘Lailaha Illallah’ tidak akan merasa sunyi dan dukacita ketika dalam kubur dan bangkit darinya, seolah-olah mereka bangun dengan menguis tanah di atas kepalanya dengan berkata; segala puji bagi Allah yang telah menyingkir perasaan sedih dan dukacita daripada hatiku, sesungguhnya Engkaulah Tuhan tempatku memohon ampun dan bersyukur.”

Kesepian dan dukacita merupakan bala azab yang menyeksa jiwa manusia, lebih lebih lagi di alam barzah (kubur) yang keadaannya seorang diri. Bayangkan jika seseorang terdampar di gurun padang pasir, yang lengang tanpa kicau burung dan tanpa manusia. Pastilah ia amat sepi yang mencengkam jiwa.

Tidak berlaku kesepian dan kesunyian di alam kubur apabila semasa hayatnya sentiasa membaca dengan ikhlas dan sebanyak mungkin zikir ‘Lailaha illallah’. Apabila dilazimkan berzikir Lailaha illallah ketika ingat dan sedar, insya-Allah lidah akan sering bergetar menyebutnya ketika hati dalam situasi biasa.

Yang menjadi masalah ialah kelaziman bagi orang awam bertahlil hanya ketika berada di majlis rasmi di masjid atau majlis kenduri, waktu selebihnya lidah tersimpan sepi tanpa zikir.Tidak tahu ke mana hendak dituju selepas dibangkitkan dari kubur di akhirat kelak, seluruh manusia dihimpun di Mahsyar tanpa arah tuju. Mereka mencari Nabi Muhammad s.a.w. untuk mendapat pertolongan, tetapi tidak tahu di mana.

Meskipun ramainya insan tidak terhingga berhimpun di Mahsyar, namun mereka bagaikan tidak berteman kerana masing-masing dengan urusan yang hendak diselesaikan. Sebagaimana dinyatakan firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya, daripada ibu dan bapanya, daripada isteri dan anak anaknya, setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkan.” (Surah ‘Abasa ayat 34 hingga 37)

Hanya dengan membanyakkan zikir ‘Lailaha illallah’ semasa hidup di dunia sebutan dengan hati penuh ikhlas, Allah SWT janjikan fadilat yang akan mereka perolihi. Ialah tidak kesunyian dan dukacita pada hari Mahsyar yang amat kalut tetapi nafsi nafsi itu.Maksud ikhlas ialah dengan penuh keyakinan bahawa tiada tuhan Yang Maha berkuasa melainkan Allah, tidak berkehendak kecuali kepada Allah SWT Yang Maha Berkuasa, Maha Kaya, Maha Bijaksana dan segala Maha lagi.

Layaklah mereka mendapat ganjaran syurga kerana mengucap ‘Lailaha illallah’ benar-benar bertauhid kepada-Nya. Dengan keyakinan yang berasaskan tauhid kepada Allah SWT, akan mencapai kemuncak nikmat.
Ketika menikmati kehidupan di alam barzah dibangkitan dari kubur, terus ke Mahsyar dan akhirnya memasuki syurga yang tidak dapat dibayangkan oleh akal fikiran.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Ya Abu Hurairah, segala kebajikan yang kamu buat sama ada dalam bentuk amalan atau ucapan akan ditimbang di akhirat, kecuali ucapan ‘Lailaha illallah’ tidak akan ditimbang dengan dengan mizan biasa. Kalau pada ceper timbang yang sebelah ditaruh langit tujuh petala serta isinya, ceper yang sebelah lagi diletakkan ucapan ‘Lailaha illallah’ nescaya ia akan lebih berat lagi.”

Wasiat Rasulullah s.a.w. kepada Abu Hurairah yang bermaksud: “Wahai Abu Hurairan, hendaklah kamu ajar orang yang hampir mati dengan ucapan ‘Lailaha illallah’ sesungguhnya kalimah ‘Lailaha illallah’ akan meruntuhkan segala dosanya.”

Sahabat bertanya; bahawa dibacakan kepada orang hampir mati, tetapi bagaimana pula terhadap orang yang hidup segar? Jawab Nabi s.a.w.: “Jika dibacakan kepada orang yang masih hidup ia lebih meruntuhkan lagi dosa-dosanya.”

Bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya: “Wahai sekalian manusia di dunia ini, mempunyai bakat dan ada tokoh untuk memasuki syurga, kecuali orang tidak berhajat untuk memasukinya.”

Sahabat bertanya; ada jugakah manusia yang tidak berhajat masuk syurga? Jawab Nabi s.a.w.: “Memang ada iaitu mereka yang tidak menyebut ‘Lailaha illallah’ (maksudnya tidak beriman kepada Allah SWT).
Sabdanya lagi yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebut ‘Lailah illallah’ dengan penuh ikhlas, mereka akan masuk syurga.” Sebut saja kalimah ‘Lailaha illallah’ dengan tidak ikhlas maka tiada jaminan untuk memasuki syurga.

Untuk mengetahui ikhlas atau sebaliknya perhatilah amalan dan gerak geri selepas berzikir itu, jika tidak serupa dengan kehendak dan tuntutan kalimah ‘Lailaha illallah’ itu buktinya tidak ikhlas.

Halal dan haram sama saja, tidak gerun terhadap maksiat yang mendatangkan dosa. Itu tandanya tidak ikhlas Ada pandangan bahawa mukmin atau kafir itu masing masing. Ini tidak betul bahkan ia pendapat syaitan untuk menyenangkan orang yang tidak percaya Tuhan. Memanglah iman dan kufur itu terletak di dalam hati.

Bagaimanapun, perkara yang di dalam itu akan terbit dan menjadi tanda, perangai adalah kuntum bunga sebagai tanda yang terbit daripada pohon hati.
Seseorang boleh melindungi apa yang ada di hati tetapi untuk sementara waktu, kerana perbuatan dan perangai manusia akan tercetus setelah didorong oleh gelojak hati.

Oleh itu hendaklah dengan ikhlas berkata ‘Lailaha illallah’ sebanyak mungkin, sebelum seseorang itu disekat oleh takdir Allah SWT khususnya ajal.

Dipetik dari artikel oleh TG Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=16761

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SAKSI ATAS DIRI SENDIRI

  Dalam bukunya, 59 Kaedah Al-Quran Untuk Jiwa dan Kehidupan, Dr. Umar Abdullah al-Muqbil (2012)  menghuraikan kaedah keempat.  Beliau meny...