Thursday, May 24, 2012

Penggunaan Gaya Bahasa dalam Penulisan Karangan Naratif Pelajar Prauniversiti di Brunei Darussalam

Yahya Othman (PhD)
Universiti Brunei Darussalam

Nurliham Haji Tuah
Maktab Duli Pengiran Muda Al- Muhtadee Billah



Abstrak
Kajian ini meneliti penggunaan gaya bahasa dalam penulisan karangan naratif pelajar prauniversiti.  Kajian secara analisis teks ini memfokuskan aspek pengunaan gaya bahasa perbandingan yang kurang diberikan perhatian oleh pelajar semasa menulis karangan. Hal ini menyebabkan kualiti penulisan dari segi nilai estetika kurang wujud dalam teks yang dihasilkan.  Untuk tujuan kajian ini, sampel kajian terdiri daripada 40 pelajar prauniversiti di sebuah pusat tingkatan enam di Brunei Darussalam dilibatkan.  Data berdasarkan hasil penulisan karangan pelajar dianalisis dengan mengkategorikan aspek gaya bahasa yang dikenal pasti.  Dapatan menunjukkan terdapat variasi dalam penggunaan gaya bahasa dalam penulisan karangan naratif.  Gaya bahasa yang sering digunakan oleh pelajar dikategorikan sebagai simile, hiperbola, metafora, personafikasi, eufemisme, dan litotes.  Walau bagaimanapun, penggunaan gaya bahasa dalam penulisan karangan sampel kajian masih kurang digunakan.  Di samping itu, terdapat sampel kajian yang tidak mahir dalam menggunakan gaya bahasa perbandingan bagi menyatakan maksud yang tersirat. Berdasarkan temu bual, sampel menunjukkan kurang memberi perhatian aspek gaya bahasa dalam penulisan karangan mereka.   
Kata kunci: gaya bahasa, karangan naratif

* Diterbitkan di dalam Journal of Applied Research in Education, vol 15 , No 1 & 2, December 2011




Pengenalan
Latar belakang kajian
Gaya bahasa merupakan ungkapan kata-kata yang melibatkan pengolahan idea (Ismail Ahmad, 1992; 2002) dan tidak hanya dibatasi oleh tatabahasa.  Dalam keadaan tertentu, bentuk dan jenis penulisan mempengaruhi gaya yang perlu digunakan dalam penulisan tersebut.  Bagi menghasilkan penulisan karangan jenis naratif yang baik, pelajar bukan sahaja dituntut untuk mengolah sesuatu cerita dalam bentuk penulisan, malah mampu  menerbitkan ayat-ayat serta ungkapan yang menggunakan perkataan dalam gaya bahasa yang indah dan menarik. Di samping itu, aspek susunan urutan cerita dan kerelevanan peristiwa juga akan menjamin kejelasan cerita dalam karangan jenis naratif dalam pembentukan sebuah wacana. Penulisan karangan memerlukan kreativiti bagi menghasilkan nilai estetika serta menggunakan gaya bahasa yang tersendiri. 

Menurut Kamsiah Abdullah (1993:484), antara subkemahiran yang perlu ada dalam penulisan karangan ialah kebolehan menulis mengikut isi dan topik yang sesuai, isi yang mencukupi, idea yang segar dan asli, menjalin perenggan dengan baik, pengenalan yang jelas, gaya bahasa yang berkesan dan penutup yang kemas.  Oleh itu, keberkesanan dalam penulisan karangan bentuk naratif yang baik memerlukan kemahiran menulis yang mampu menggabungkan kebolehan mengolah isi, bahasa dan susunan organisasi yang mantap di samping penggunaan gaya bahasa yang bersesuaian.
Kamus Linguistik (1997:83) mendefinisikan gaya bahasa sebagai penggunaan bahasa seseorang dalam pertuturan atau penulisan dengan penggunaan ragam tertentu dalam bahasa tulisan secara sengaja untuk menimbulkan kesan tertentu atau ciri penggunaan bahasa sekelompok penulis. Kridalaksana (1984:57) pula menjelaskan gaya bahasa ialah pemanfaatan atas kekayaan bahasa oleh seseorang dalam bertutur atau menulis.  Maksud lain ialah pemakaian ragam tertentu untuk memperoleh efek-efek tertentu.
Bagi maksud gaya bahasa, Umar Junus (2010) menghuraikannya sebagai cara menyatakan sesuatu yang lain daripada biasa tanpa kelainan makna.  Bagi Rahman Shaari (1993) pula, gaya bahasa terhasil melalui tulisan.  Jika penulis tidak mampu memilih cara yang sesuai untuk menyampaikan fikirannya, maka karya itu dikategorikan sebagai tidak bergaya.  Menurut beliau lagi, adalah mustahil seseorang itu menulis sebuah karangan tidak menggunakan ayat transformasi.
Maniyamin Hj Ibrahim (2006:38) pula menjelaskan bahawa gaya bahasa terbit daripada usaha penulis memanipulasi bahasa yang sedia ada. Tujuan manipulasi bahasa dilakukan adalah untuk  mencari perkataan atau ungkapan atau frasa yang serasi dengan mesej di samping menghasilkan keindahan bunyi perkataan atau ungkapan atau frasa dalam karya dan menimbulkan kesegaran dan keberkesanan karya kepada pembaca atau pendengar.

Permasalahan Kajian
Kajian berkaitan gaya bahasa sangat kurang dilakukan di Brunei Darusssalam. Penulisan bentuk ini kebanyakannya dilakukan terhadap karya sastera seperti yang dilakukan oleh Chong Ah Fok (1997) dan Rozaiman Makmun (2011). Chong Ah Fok telah mengkaji gaya bahasa aliran yang terkandung di dalam majalah Bahana terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei sekitar bulan Januari dan April 1993.  Dapatan kajian beliau menunjukkan penulis Brunei kebanyakannya menulis berdasarkan pengalaman dan terpengaruh dengan gaya bahasa penulis Malaysia, Singapura dan Indonesia. Manakala Rozaiman Makmun (2011) pula menyatakan, di Brunei  wujud jurang pandangan antara pengkaji gaya bahasa iaitu ahli linguistik dan sasterawan.  Keadaan menjadi lebih teruk apabila kefahaman terhadap gaya bahasa menjadi masalah dalam menghasilkan karya yang bermutu.
Pelajar sekolah juga berhadapan dengan masalah menggunakan gaya bahasa yang betul semasa menuliskan karangan. Dalam hal ini, kajian berkaitan gaya bahasa dalam penulisan karangan dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Brunei telah dilakukan oleh Noni Rita Hj Japah (2007). Beliau mendapati hanya 10 sampel (13%) yang menggunakan unsur gaya bahasa yang meliputi perumpamaan dan hiperbola dalam karangan mereka.   Unsur gaya bahasa masih terhad penggunaannya dalam penulisan karangan pelajar. Oleh itu, kajian ini sesuai dijalankan berdasarkan justifikasi dari segi kualiti dan kuantiti penulisan karangan yang menggunakan gaya bahasa perbandingan.
Dalam konteks penulisan karangan di sekolah, penggunaan gaya bahasa diberikan perhatian. Bagi kebanyakan penulisan karangan berbentuk imaginatif, pelajar digalakkan menggunakan gaya bahasa yang mampu memberikan daya tarikan kepada pembaca. Hal ini disebabkan gaya bahasa adalah unsur yang perlu wujud dalam penulisan jika aspek keindahan bahasa ingin diberikan tumpuan dalam penulisan.  Penulisan karya kreatif sering dikaitkan dengan gaya bahasa yang ditandai dengan penggunaan gaya bahasa yang bersesuaian dengan karya yang ditulis. Oleh itu, penggunaan gaya bahasa yang sesuai mampu memberikan kesan kepada pembaca. 
Bagi pelajar prauniversiti di Brunei, terutamanya yang mengambil kertas Bahasa Melayu, pencapaian dalam penulisan karangan dinilai dari segi kemampuan mengolah isi karangan dengan kemas, di samping teliti dan kreatif menggunakan gaya bahasa. Bagi mereka, menulis karangan berbentuk fakta memerlukan ketajaman minda untuk mengemukakan fakta serta mampu mengolah fakta sebaik mungkin.  Namun bagi penulisan karangan berbentuk naratif, pelajar memerlukan bukan sahaja olahan plot atau penceritaan yang baik tetapi keupayaan menggunakan gaya bahasa yang dapat memantapkan lagi mutu penulisan.
Sehubungan itu, karangan ialah wadah yang paling sesuai untuk menilai penggunaan gaya bahasa dalam penulisan.  Melalui penulisan karangan, penelitian berkaitan gaya bahasa dapat dilakukan dengan mudah kerana data dapat dianalisis berdasarkan sumber primer.  Walau bagaimanapun, masalah yang sering wujud dalam penulisan karangan naratif ialah pelajar kurang menggunakan unsur gaya bahasa.  Kelemahan ini boleh memberi gambaran terhadap mutu penulisan karangan pelajar yang kurang dari segi nilai estetika dan keragaman bahasa.
Objektif Kajian
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti unsur-unsur gaya bahasa dalam penulisan karangan naratif pelajar prauniversiti, dan mengenal pasti kekerapan penggunaan gaya bahasa dalam penulisan karangan naratif pelajar prauniversiti.
Kepentingan kajian
Kajian berkaitan penggunaan gaya bahasa dalam penulisan karangan jenis naratif amat kurang dijalankan di Brunei Darussalam. Maka kajian ini diharapkan dapat membantu guru dan pelajar terutamanya pada peringkat prauniversiti.  Penulisan yang menggunakan gaya bahasa perbandingan juga dapat menjamin wujudnya nilai estetik dalam penulisan pelajar. Walaupun pelajar memilih tajuk karangan berbentuk naratif, namun olahan yang dilakukan tidak menggambarkan mereka memahami penggunaan gaya tersebut secara berkesan.  Bagi pihak guru pula kajian ini diharapkan mampu memberikan gambaran pencapaian dan tahap kemahiran pelajar menggunakan gaya bahasa perbandingan di dalam penulisan karangan mereka. Melaluinya juga guru dapat membuat persediaan yang lebih baik semasa mengajarkan karangan bentuk ini.
Tinjauan literatur
Teori Wacana
Menurut Asmah Haji Omar (2006), teori wacana ialah lanjutan teori lambang yang dipelopori oleh Ferdinand de Sausssure pada tahun 1916.  Saussure menyatakan lambang terdiri daripada signifiant dan signifié. Signifiant  ialah imej bunyi yang termasuk di dalamnya imej grafik, manakala signifié pula adalah konsep yang berkembang menjadi makna. Menurut Asmah lagi, kedua-dua maksud tersebut menghasilkan kata yang khusus pada rujukan benda yang dirujuk oleh kata.  Dalam teori lambang, kedua-dua lambang tersebut saling memerlukan dan memiliki fungsi tertentu. 
Jika dikaitkan dengan penulisan karangan jenis naratif, wacana yang dihasilkan akan memberi makna jika kata yang dipilih dapat menyatakan sesuatu lambang mengikut kesesuaian.  Untuk menjamin hasil penulisan yang lebih berkesan teori wacana yang menggabungkan antara imej dan makna kata dianggap sesuai digunakan dalam kajian ini dengan mengambil kira keperluan meletakkan sesuatu kata yang mampu menggambarkan makna yang lebih tepat. Dengan cara ini, mutu penulisan akan lebih bermutu di samping pemilihan kata yang mengandungi aspek gaya bahasa dapat pula meletakkan nilai estetik dalam penulisan pelajar.
Wacana ialah satuan bahasa  yang lengkap dan direalisasikan dalam bentuk karangan yang mantap (Kridalaksana dalam Tarigan, 1984). Maka dalam penulisan karangan naratif, kesatuan idea yang ingin dipaparkan dalam teks bukan saja perlu terbentuk dalam kesatuan idea, tetapi juga merangkumi ciri gaya bahasa yang berfungsi mengukuhkan lagi teks karangan tersebut.
Dalam konteks penulisan karangan, keupayaan penulis mengolah, menyusun perenggan serta menggunakan gaya bahasa yang sesuai dengan tajuk yang dibincangkan membantu terbinanya wacana yang baik.  Di samping itu, wacana yang baik juga mementingkan pemilihan perkataan yang sesuai, mampu memberi makna yang tepat di samping memiliki nilai keindahan terutamanya bagi karya naratif. Oleh itu, penggunaan gaya bahasa dapat membantu penulisan karangan terutamanya jenis naratif.
Jenis gaya bahasa dalam penulisan
Keris Mas (1990:113) mengkategorikan gaya bahasa kiasan kepada 11 jenis, iaitu simpulan bahasa, peribahasa, perumpamaan, perbilangan, metafora, simile, personafikasi, alegori, fable, alusi, sindiran dan ironi.
Gorys Keraf (1985:112-145) telah memperbincangkan jenis-jenis gaya bahasa dengan sangat terperinchi dalam bukunya ‘Diksi dan Gaya Bahasa’. Beliau juga menyenaraikan bahasa kiasan yang terdiri daripada simile, metafora, alegori, alusi, personafikasi, eponym, epitet, sinekdoki, metonimia,antonomasia, hipalase, ironi, sinis, sakasme, satire, innuendo, antifrasis dan paronomasia. Beliau menyenaraikan jenis gaya bahasa tersebut dalam golongan gaya bahasa berdasarkan tiada makna.
Dalam konteks  bahasa kiasan, Pradopo (1993:61-78) menyenaraikan perbandingan, metafora, perumpamaan, epos, alegori, personafikasi, metonomia dan sinekdoki. Walau bagaimanapun, Rahman Shaari (1993) pula tidak menetapkan pembahagian gaya bahasa kiasan kepada beberapa jenis. Beliau hanya membandingkan antara satu gaya bahasa kiasan dengan gaya bahasa kiasan yang lain. Contohnya metafora dan personafikasi (1993:1), sinekdoki dan metonimi (1993:12), ironi dan paradoks dalam puisi (1993:17), eufeisme dan litotes (1993:44), bahasa bombastik dan hiperbola (1993:49) dan gaya yang tidak bergaya (1993:83).
Dalam analisis kajian ini penelitian jenis-jenis gaya bahasa kiasan dan bukan kiasan yang berdasarkan ilmu linguistik, bersifat kesusasteraan dan popular sahaja yang akan dikemukakan oleh penulis. Gaya bahasa kiasan perbandingan tersebut ialah metafora, personafikasi, simile, hiperbola, dan gaya bahasa bukan kiasan seperti eufemisme, litotes,  dan gaya yang tidak bergaya.
Kajian berkaitan
Bagi kajian yang berkaitan karangan, Noni Ratina Hj Jahpar (2007:100) telah menganalisis karangan naratif pelajar menengah empat di Sekolah Menengah Jamalul Alam, Brunei Darussalam. Dalam kajian tersebut, beliau meminta sampel yang berjumlah 50 orang pelajar untuk menulis dua jenis karangan, iaitu karangan naratif menyambung cerita (KNMC) dan karangan naratif bertajuk (KNB). Beliau meneliti perbezaan plot cerita dari segi konflik, klimaks, peleraian, urutan plot cerita, teknik penceritaan, gaya bahasa dan stereotaip. Hasil dapatan menunjukkan sejumlah 33 sampel (66%) telah menghasilkan plot cerita karangan naratif yang berbeza. Namun daripada penulisan kedua-dua jenis karangan tersebut menunjukkan bahawa penggunaan teknik penceritaan sering digunakan. Penggunaan gaya bahasa adalah pada tahap sangat kurang memuaskan dan sampel belum menguasai kemahiran tersebut dengan baik. Dapatan tentang gaya bahasa juga menunjukkan hanya sepuluh sampel (13%) menggunakan gaya bahasa perumpamaan dan hiperbola sahaja dalam karangan mereka. Selebihnya tiada unsur gaya bahasa yang digunakan di dalam karangan mereka.
Di samping itu, Mohd Sofri Hj Md Said (1990:48) melakukan analisis tentang gaya bahasa puisi lima orang penyair dalam antologi puisi Lagu Hari Depan. Beliau telah membahagikan kepada dua unsur gaya bahasa yang utama iaitu, unsur perulangan dan unsur diksi (pemilihan kata-kata). Berdasarkan dapatan beliau membahagikan unsur-unsur perulangan dalam puisi-puisi lima orang penyair ini kepada dua bahagian kecil, iaitu unsur perulangan pada bunyi dan perkataan. Hasil dapatan pada unsur perulangan pada bunyi dibahagikan kepada tiga, iaitu homoioteleuton, asonansi dan aliterasi. Manakala unsur perulangan pada perkataan pula dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu paralelisme, simplok dan responsif. Gaya bahasa perbandingan pula yang didapati oleh pengkaji dalam puisi  lima orang penyair ini ialah simile, metafora, personifikasi dan simbolik.
Dalam analisis terhadap gaya bahasa karya sastera novel dan sajak, Rahman Shaari (1993:143-154) menganalisis gaya bahasa novel Tok Guru, novel Konserto Terakhir dan sajak-sajak T. Alias Taib, Marzuki Ali, Puzi Hadi, Usman Awang, Amir Hamzah dan Baha Zain. Menurut beliau, penyair-penyair ini sangat mengambil berat soal teknik dan gaya, dan mereka telah berjaya memaparkan gaya yang memuaskan.
Manakala bagi kajian gaya bahasa dalam penulisan novel, Mohd Azhar Su (2005) mengkaji gaya bahasa dalam novel remaja karya Khairuddin Ayip iaitu Guruku Ibuku Jua, Bukan Untukku, Songket Berbenang Emas, Sayangnya Jauh Di Kota, Jalan Masih Berliku dan Teguh.  Kajian yang dijalankan adalah  berdasarkan analisis, perbincangan dan penilaian gaya bahasa. Kajian dijalankan melalui kaedah penyelidikan kepustakaan untuk mendapat bahan, maklumat, keterangan dan penyataan. Tinjauan terhadap kajian tentang gaya bahasa yang pernah dilakukan bertujuan untuk menganalisis aspek pendekatan yang sering digunakan dalam kajian yang berkaitan. Hasil kajian mendapati novel remaja karya Khairuddin Ayip mempunyai ciri keindahan universal dari segi gaya bahasa, nilai intelek dan nilai etika. Penulis menggunakan secara maksimum kesemua aspek gaya bahasa untuk mengolah dan menjalin cerita terutama dalam pelukisan jiwa, perasaan, suasana atau latar dengan menggunakan bahasa asing, kata pinjaman, dialek, bombastik dan apostrophe, gaya bahasa perulangan, perbandingan dan pertentangan untuk mencernakan novel remaja tersebut. Penemuan ini dapat mencerminkan kemantapan serta kematangan novelis tersebut. Keseluruhannya, penulis berjaya mengeksploitasi sepenuhnya gaya bahasa untuk menyampaikan pemikiran dan gagasan ke arah wawasan pembinaan dan penyatuan golongan remaja.

Dalam kajiannya terhadap gaya bahasa yang terkandung di dalam novel Sumbangsih Seni, Rozaiman Makmun (2011) telah mengaitkan gaya bahasa yang dikaji dengan aspek gaya bahasa berdasarkan aliran sastera dan bukan dikaitkan dengan gaya bahasa yang dianuti pengarang. Antara gaya bahasa yang dapat dikenal pasti dalam novel tersebut adalah berasaskan gaya bahasa aliran pascamoden dan aliran gaya bahasa aliran romantis.  Novel tersebut juga bukan menggambarkan gaya idiosinkrasi peribadi pengarang.  Hal ini terbukti melalui penggunaan kedua-dua aliran pasca moden dan romantisisme yang diusahakan dengan sengaja oleh pengarang. Gaya peribadi pengarang mungkin terdapat dalam karya sasteranya yang lain dan tidak digunakan dalam novel ini. Oleh itu, penulis berpeluang untuk menggunakan gaya bahasa yang disukai semasa proses penulisan kreatif bagi memastikan karya mereka mengandungi nilai estetik

Metodologi
Reka bentuk kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan menggunakan kaedah analisis teks karangan pelajar sebagai sumber data utama. Sebanyak 40 pelajar prauniversiti (enam atas) di Brunei Darussalam dipilih sebagai sampel kajian.  Sampel dipilih dengan rawak mudah berdasarkan senarai pelajar yang disediakan oleh pihak pentadbiran pusat tingkatan enam yang dipilih. Mereka diminta menuliskan sebuah karangan berbentuk naratif jenis menyambungkan cerita.  Taklimat berkaitan penggunaan gaya bahasa diberikan sebelum aktiviti menulis karangan dimulakan. Masa yang diberikan untuk menulis karangan (500 patah perkataan) tersebut adalah selama satu jam. Bagi mendapatkan data berkaitan dengan minat pelajar terhadap penulisan karangan, pengkaji menggunakan borang soal selidik yang diedarkan selepas aktiviti menulis karangan.

Setiap karangan diperiksa dan dianalisis untuk mengenal pasti unsur gaya bahasa yang digunakan oleh sampel kajian. Pengkaji akan menyenaraikan semua unsur gaya bahasa yang dikenal pasti dan mengkategorikan mengikut aspek gaya bahasa seperti yang dinyatakan oleh Rahman Shaari (1993). Statistik berbentuk peratusan digunakan untuk menyatakan kekerapan penggunaan unsur gaya bahasa dalam penulisan karangan.
Dapatan kajian dan perbincangan
Jenis-Jenis Gaya Bahasa dalam Penulisan Karangan Naratif
Gaya bahasa melibatkan diksi (pemilihan kata) dan pembentukan ayat. Bahasa yang ditulis menjadi bergaya atau mempunyai gaya tertentu dan pengarang perlu menggunakan pelbagai jenis gaya bahasa dalam proses penulisannya. Perbincangan berikutnya adalah hasil analisis teks penulisan karangan pelajar dengan analisis berdasarkan gaya bahasa.
Simile
Berdasarkan data kajian, sampel menggunakan gaya bahasa perbandingan simile  dalam  27 ayat dalam karangan naratif yang ditulis. Sejumlah 19 sampel (47%) menggunakan unsur gaya bahasa perbandingan tersebut dalam penulisan karangan naratif mereka. Contoh-contoh gaya bahasa perbandingan simile yang digunakan dalam ayat (Singkatan S adalah untuk sampel kajian):
i.                    bagai/bagaikan;
… aku ditatang bagai minyak yang penuh.   (S4)    
… aku bagai tunggul di rumahku sendiri.      (S5)
Bagai jatuh ditimpa tangga tetapi masalah terus melanda diriku.      (S8)
Aku ditinggal pergi bagai bunga yang hilang madu dihirup oleh sang kumbang dan aku terkulai layu.           (S11)
Dalam keadaanku bagai nyawa di hujung pedang … (S28)
bagaikan angin yang menyapa dingin.       (S17)
Keseorangan di bilik bagaikan penjara ini … (S31)

ii.                  seperti;
Kini hidupku seperti bola yang bergolek dengan tidak ada arah yang dituju.  (S7)
… tidak lagi seperti seorang Islam yang sentiasa takutkan agamanya …  (S7)
… aku bebas seperti burung.  (S8)
…aku seperti terkena renjetan elektrik.         (S12)
Aku merasa diriku seperti sudah jatuh ditimpa tangga.         (S12)
Aku seperti sudah jatuh ditimpa tangga.        (S14)
Sekarang mereka seperti bumi yang tak pernah dan tak akan terjangkau tingginya langit.   (S20)
seperti seekor umang yang menyarungi apa sahaja bekas kosong.  (S20)
… aku berasa seperti berada di ambang maut menunggu ajal ku tiba.  (S24)
Linangan air mata habis bertaburan seperti alam yang dilanda rebut taufan yang hanya menunggu saat penghabisan.  (S28)
sepertianak emas.  (S33)
Kini hidupku seperti kapal layar yang terombang ambing di tengah lautan tanpa ada tujuan hendak dituju. (S38)

iii.                umpama;
Kini hidupku umpama layang-layang yang terputus talinya.  (S9)

iv.                 bak;
Bak kata pepatah Melayu, biar putih tulang, jangan putih mata.  (S12, S14)
Ibu berasa dadanya sakit bak kata tercucuk sembilu.  (S16)
bak kata pepatah ‘nasi telah menjadi bubur’…  (S30)
bak kata pepatah kesilapan itulah pembukaan jalan bagi setiap kejayaan. (S32)

v.                   ibarat;
Kewujudanku ibarat embun di waktu pagi bila matahari terik keringlah ia. (S28)
… nasib keluargaku ibarat kais pagi makan pagi itu, ku tepis semua rasa malu itu. (S29)
Bahasa perbandingan jenis ini digunakan seperti (12 ayat), bagai (tujuh ayat), umpama (satu ayat), umpama (lima ayat), dan ibarat (tujuh ayat). Analisis teks menunjukkan 47 peratus sampel kajian  menggunakan gaya bahasa bandingan simile dan merupakan kekerapan tertinggi dari segi penggunaannya dalam ayat. Jenis gaya bahasa perbandingan ini selalu digunakan oleh pelajar kerana mereka telah biasa dengan peribahasa Melayu yang telah mereka pelajari dan mudah pula diingati seperti bagai jatuh ditimpa tangga, nasi telah menjadi bubur, seperti anak emas dan sebagainya.
Simile dalam ayat ditandai dengan penggunaan kata-kata perbandingan. Kata-kata perbandingan tersebut seperti ‘bak, laksana, umpama, seperti, bagai, bagaikan, ibarat, tamsil’ dan seumpamanya. Simile dikenali juga sebagai perbandingan dan bersifat eksplisit. Simile menyamakan sesuatu objek sama ada perkara, hal atau situasi yang lain dengan menggunakan kata-kata perbandingan (Pradopo, 1993:62). Rahman Shaari (2001:90) mendefinisikan simile sebagai bahasa perbandingan yang menggunakan kata bandingan, iaitu ‘bagai’, ‘seperti’, ‘macam’, ‘bak’ dan lain-lain.



Hiperbola
Menurut Kamus Linguistik (1997:92) hiperbola adalah bahasa kiasan yang membesar-besarkan kebenaran sesuatu, misalnya dalam ayat kami memohon ribuan maaf. Kridalaksana (1984:66) menyatakan hiperbola adalah melebih-lebihkan sesuatu, misalnya ayat saya mengucapkan beribu-ribu terima kasih. Rahman Shaari (1993:51)pula menyatakan hiperbola sebagai kiasan yang terdiri daripada ungkapan yang berlebih-lebihan. Gambaran yang dilukiskan dalam hiperbola tidak menepati realiti, tetapi mengandung nilai estetika. Contoh yang beliau berikan dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad menunjukkan gambaran banyaknya burung tiak dan ketam yang mengancam kehidupan Lahuma sebagai petani. Dalam ayat Burung tiak datang sehingga terlindung pemandangan di angkasa dan ketam pula berkawah-kawah banyaknya, gambaran tersebut ternyata berlebih-lebihan.
Setelah meneliti data kajian, didapati gaya bahasa bandingan hiperbola juga digunakan di dalam penulisan karangan naratif. Dapatan menunjukkan terdapat 6 ayat  jenis hiperbola terdapat dalam karangan pelajar. Sejumlah 3 sampel (7%) telah menggunakan jenis gaya bahasa bandingan  hiperbola di dalam penulisan karangan naratif  mereka. Di bawah ini disenaraikan contoh-contoh  jenis gaya bahasa hiperbola tersebut:
i.                    Dia hanya mampu mempersembahkan air matanya kepadaku dan … (S7)
Cuma air mata yang hanya dapatku persembahkan … (S7)
Air matanya mengalir dari matanya yang sudah tenat menanggung berat kesedihan yang sudah terkumpul. (S10)
Aku hanya mampu mengalirkan air mata yang sia-sia.  (S10)
… wajah ayah muncul di dua bebola mataku ini.  (S20)
Air mataku mengalir dengan deras … (S20)

Sampel 7 telah mengulang ayat yang sama pada perenggan  yang berbeza. Di dalam  ayat pertama, sampel telah menggunakan ayat aktif dan pada ayat kedua sampel telah memindahkan ayat tersebut menjadi ayat pasif. Perkataan ‘air mata’ berfungsi sebagai objek dalam ayat berkenaan. Sampel juga menggunakan perkataan ‘mata’ untuk melebih-lebihkan kata ini seperti contoh-contoh yang disenaraikan di atas. Seolah-olah salah satu anggota tubuh badan seperti ‘mata’ menjadi perbandingan dan dilebih-lebihkan.  Hal ini juga dilakukan oleh S10 yang menggunakan kata perbandingan ‘mata’ untuk menggambarkan  secara berlebihan perasaan yang ditanggung. 
Kecenderungan sampel menggunakan jenis gaya bahasa bandingan hiperbola juga meningkatkan kesan di hati pembaca. Walau bagaimanapun, memang tidak dapat dinafikan jenis gaya bahasa hiperbola sukar untuk dibina apatah lagi gambaran yang dilukis tidak menepati realiti. Ini adalah kerana untuk membina kata yang melebih-lebihkan dari segi maksud memerlukan bahasa yang kreatif dan mahir dalam penulisan.
Walau bagaimanapun, bagi gaya bahasa hiperbola didapati sampel kajian agak kurang menggunakannya di dalam penulisan karangan.  Sampel kajian perlu lebih kreatif dalam mengolah ayat-ayat yang mengandungi gaya bahasa hiperbola. Hasilnya tahap penggunaan bahasa estetik menjadikan penulisan karangan naratif mereka kurang bermutu dan kurang kreatif.
Metafora
Metafora ialah sejenis bahasa figuratif. Metafora adalah ‘pemakaian kata atau ungkapan lain untuk objek atau konsep lain berdasarkan kiasan atau persamaan’ ( Kridalaksana, 1984:123). Rahman Shaari (2001:58) mendefinisikan metafora sebagai penggunaan kata yang menerbitkan makna yang lain daripada makna tersurat. Sesuatu objek diberikan sifat secara perbandingan atau secara kiasan. Misalnya, jika disebut ‘api’, semua orang memahaminya, iaitu ‘nyalaan panas yang membakar’ dan disebut ‘mata’ fahamlah orang bahawa itu ialah anggota tubuh manusia yang digunakan untuk melihat. Bentuk metafora akan terhasil apabila ‘api’ dan ‘mata’ disebut seperti, di matanya ada api.
Daripada analisis yang dijalankan, ternyata bahawa penggunaan jenis gaya bahasa metafora juga wujud dan kerap digunakan dalam penulisan karangan naratif  pelajar. Data menunjukkan  kedua-dua jenis metafora iaitu metafora yang tidak memerlukan kata-kata perbandingan seperti, bagaikan, laksana, bak dan bagai dan jenis metafora yang menggabungkan unsur konkrit dan abstrak telah digunakan di dalam data kajian. Hasil dapatan menunjukkan  29 ayat metafora wujud dalam data kajian. Sejumlah 21 sampel (52%) telah menggunakan gaya bahasa  metafora di dalam penulisan karangan naratif mereka. Terdapat sebelas sampel (27%) yang menggunakan jenis metafora yang tidak memerlukan kata-kata perbandingan dan sepuluh sampel (25%) yang menggunakan jenis metafora yang menggabungkan unsur konkrit dan abstrak. Metafora nasi sudah menjadi bubur digunakan dengan agak meluas dalam penulisan (enam ayat). Manakala S22 dapat mengungkapkan  dua ayat menggunakan metafora. Contoh-contoh bagi kedua-dua jenis metafora dapat dilihat  di bawah ini:



a.      Metafora yang tidak memerlukan kata-kata bandingan
… hampir pupus ditelan zaman.         (S5)
… nasi sudah menjadi bubur. (S12, S14, S16, S18, S20 & S30)
… dara hingusan …   (S19)
… kacang lupakan kulit.         (S22)
… usaha tangga kejayaan.        (S22)
Jangan diikut-ikutkan hati, malu berkayuh perahu hanyut, malu bertanya sesat jalan ….  (S25)
… alah bias, tegal biasa.  (S27)

b.      Metafora yang menggabungkan unsur konkrit dan abstrak
… aku lebih mengejar kesenangan dunia …  (S4)
… ingin mengubati luka di dadanya.  (S5)
Semuanya telah tertimbus di dalam mindaku.            (S6)
Aku hanya mengikut kata hati.           (S8)
Hatiku sangat remuk.  (S8)
… cinta mati.   (S11)
Hanya cinta monyet di usia remaja.  (S11)
… menikmati ketenangan …  (S12)
Aku hanya dibaluti rasa menyesal yang tidak terhingga.  (S12)
Aku dibaluti perasaan kesal yang tidak terhingga.  (S14)
Karmella bergerak malas menuju ke jendela. (S17)
… namun suaranya mampu mengatasi suara gajah tetapi hatinya sungguh baik.  (S20)
Sebelum gunung merapi meledak …  (S20)
… berhenti jadi obor-obor cik abang … (S20)
… belajar tinggi-tinggi setinggi gunung Everest.  (S25)
… memperlihatkan gigi mereka yang besarnya seperti biji timun. (S25)
Aku melemparkan senyuman …  (S25)
                                  
Terdapat 17 ayat yang mengandungi metafora jenis dapat dikesan digunakan oleh sampel yang tidak memerlukan kata-kata bandingan dan metafora yang menggabungkan unsur konkrit. Dapatan kajian menunjukkan, terdapat ayat jenis metafora yang tidak memerlukan kata-kata bandingan, dan sampel tidak menuliskan kata-kata bandingan seperti, bagai, bak di dalam penulisan karangan mereka. Peribahasa ‘nasi sudah menjadi bubu’ kerap digunakan oleh sampel iaitu sebanyak 6 kali dan digunakan oleh sampel-sampel yang berbeza. Hal ini berkemungkinan disebabkan tajuk ujian karangan naratif ini ada relevannya dengan peribahasa ‘nasi sudah menjadi bubur’ tetapi dibincangkan dengan cara yang berbeza.
Penggunaan terbanyak adalah bagi gaya bahasa metafora.  Hal ini disebabkan metafora agak mudah digunakan dan mereka telah biasa dengan gaya bahasa ini terutama dalam puisi. Hal yang sama juga terjadi kepada penggunaan gaya bahasa simile yang digunakan hampir 47 peratus sampel kajian.  Gaya bahasa ini banyak digunakan di dalam perumpamaan yang sering mereka gunakan dalam peribahasa atau perumpamaan. 
Personifikasi
Menurut Kridalaksana (1984:154), personifikasi adalah penggambaran sesuatu yang mati seolah-olah hidup, misalnya dalam kalimat ‘daun melambai-lambai’. Rahman Shaari (2001:73), pula mendefinisikan personifikasi sebagai pemberian sifat manusia kepada objek-objek atau konsep-konsep bukan hidupan. Cara membentuk personifikasi sama dengan pembentukan metafora. Perbezaan antara kedua-duanya terletak pada sifat manusia. Jika sifat objek dalam metafora digantikan dengan sifat manusia, maka yang terbentuk adalah personifikasi. Contoh personifikasi ialah ‘di dada malam’, ‘membunuh kesedihan’, ‘jantung kota’ dan seumpamanya.
Berdasarkan dapatan kajian, sebanyak 14 ayat personifikasi  wujud dalam karangan sampel. Sejumlah 11 sampel (27%) telah menggunakan unsur gaya bahasa personifikasi  dalam penulisan karangan naratif  mereka. Perhatikan contoh-contoh kewujudan jenis gaya bahasa personifikasi dalam ayat berikut:
Hatiku pun menangis dengan semua ini … (S5)
… sembahyang adalah tiang agamaku … (S6)
… seakan menyelubungi kehidupanku dan menghantui perasaanku … (S7)

S5 telah menggambarkan hatinya seolah-olah menangis dengan penderitaan yang dirasainya dan ingin lebih memperjelaskan kepada pembaca tentang perasaan dirinya. S6 pula menekankan bahawa sembahyang berdiri teguh yang patut dilaksanakan oleh umat Islam dan menjadi tuntutan agama. S7 pula menggambarkan kehidupannya dan perasaan yang ditanggungnya sentiasa dibayangi oleh bayangan yang menakutkan seperti hantu. Sampel-sampel ini menggunakan bahasa yang kreatif  dengan mengaitkan penggunaan sudut pandangan orang pertama, ku. Penggunaan bahasa perbandingan ini memudahkan sampel meluahkan perasaan atau menyampaikan mesej secara berkesan. Di bawah adalah contoh-contoh penggunaan personifikasi dalam ayat;

Rasa kesal sudah tidak lagi bertanam disanubariku.  (S7)
Kini hidupku yang sebatang kara kurasakan … (S8)
Angin sepoi-sepoi bahasa …  (S12)
… hatiku berbunga-bunga … (S13)
… bunyi cengkerik memecah keheningan malam … (S14)

Berdasarkan contoh ayat-ayat tersebut, perasaan kesal yang dialami oleh S7 sentiasa ada dalam dirinya. Perkataan ‘bertanam’ sudah tumbuh dalam sanubari dirinya. S8 menggambarkan hidupnya yang keseorangan seperti ‘sebatang kara’. Angin digambarkan berkata-kata dan berbahasa yang cuba digayakan bahasanya oleh S12 dan S13 menunjukkan perasaan hatinya yang terlalu ceria dan digambarkan ‘berbunga-bunga’. Manakala S14 menggambarkan malam yang sunyi menjadi terang dengan bunyi cengkerik.
Pusaranya akan menjadi tempat mengubat rindu.  (S14)
… melangkah kaki ke menara gading.  (S17)
… sehingga membuahkan bibit-bibit cinta di antara mereka.  (S17)
… cita-citaku sehingga ke menara gading.  (S18)
Telefon bimbitku berdering memecah suasana sepi dan sunyi itu.  (S26)
… menyelami dasar lautan hati …  (S28)

Berdasarkan contoh penggunaan personifikasi dalan ayat di atas, S14 menggambarkan pusara atau kubur orang yang dicintainya sebagai tempat mengubat kerinduan dan mengingati orang yang disayanginya. S17 dan S18 menggambarkan cita-cita yang tinggi untuk melanjutkan pelajarannya hingga ke peringkat universiti dan beliau juga menggambarkan kepada pembaca tentang cintanya yang baru bermula setelah berkenalan dengan gadis itu. S26 pula menggambarkan pada malam yang sunyi suasana menjadi terang dengan bunyi telefon bimbit. S28 juga menggambarkan hatinya seperti dasar lautan yang perlu diselami perasaannya.
Eufemisme
Istilah lain bagi eufemisme ialah kiasan halus. Kamus Linguistik (1997:69) mendefinisikan eufemisme sebagai penggantian ungkapan yang kurang baik dari segi konotasi dengan ungkapan yang lebih halus. Contohnya pembantu rumah untuk amah atau orang gaji (kiasan halus). Rahman Shaari (2001:29) mendefinisikan eufemisme adalah penggunaan kata-kata tertentu yang tidak tepat untuk menggantikan kata-kata yang dianggap kasar, keras atau menyakitkan. Perkataan seperti ‘meniduri’ untuk ‘melakukan hubungan seks’, ‘berbadan dua’ untuk ‘bunting’ dan ‘meninggal’ untuk ‘mati’ ialah contoh eufemisme. Tujuannya adalah supaya konsep atau hal tertentu sampai ke pemahaman pendengar (atau pembaca), tetapi tidak menyinggung perasaan.
Peribahasa ‘nyiur ditebuk tupai’ yang ditujukan kepada gadis yang kehilangan daranya, sama ada dirogol atau melakukan hubungan seks atau kerelaan, bukanlah eufemisme kerana dengan peribahasa itu masyarakat tidak memperhalus peristiwa yang menimpa si gadis. Ayat ‘Saya hendak ke belakang’ adalah eufemisme bagi maksud hendak ke tandas untuk buang air. Buang air itu sendiri ialah eufemisme yang membawa maksud buang air kecil dan buang air besar.
Dapatan kajian menunjukkan gaya bahasa eufemisme juga wujud dalam penulisan karangan naratif pelajar prauniversiti sebanyak 15 ayat. Sejumlah 12 sampel (30%) telah menggunakan unsur eufemisme dalam penulisan karangan naratif mereka. Contoh-contoh unsur eufemisme dalam karangan pelajar dinyatakan di dalam jadual 1:           
Sampel
Unsur eufemisme
Maksud
S4 & S5
Mengandung
Hamil
S5
Sekujur tubuh kecil yang kaku
Mayat kanak-kanak
S6
Terlanjur
Melakukan hubungan seks
S12
… gulung tikar
Bankrap
S16
Ibuku telah meninggal dunia
Mati
S20
… menghadap pusara ayah dan bonda
Kubur
S22
… mendirikan rumahtangga yang bahagia
Kahwin
S30
… sekujur tubuh terlentang di ruang tamu
Mayat
S30
… duniaku tiba-tiba gelap
Pengsan
S31
… makanan air tangan ibuku
Masakan yang dibuat oleh ibu
S32 & S37
… cahaya mata …
Anak
S32
… berumah tangga
Kahwin
S33
Perempuan panggilan
Pelacur
S11
Mahkota yang sepatutnya ku pertahan telah dijajah
Perawan

JADUAL 1: Contoh-contoh unsur eufemisme dalam penulisan karangan
Dapatan  kajian menunjukkan 70 peratus sampel perempuan telah menggunakan unsur ini. Hal ini menunjukkan sampel perempuan berhati-hati dalam penulisan mereka agar bahasa yang digunakan halus dengan ungkapan yang lembut. Berdasarkan dapatan borang soal selidik, Sampel perempuan (65%) menunjukkan minat menggunakan unsur-unsur gaya bahasa. Rahman Shaari (1993:45) menjelaskan bahawa kemahiran penggunaan eufemisme adalah salah satu tanda yang membuktikan bahawa seseorang itu mahir berbahasa.
Rumusan daripada hasil dapatan kajian menunjukkan tidak semua jenis gaya bahasa wujud dalam karangan naratif pelajar-pelajar. Berdasarkan analisis data yang dijalankan, jenis gaya bahasa perbandingan, iaitu metafora didapati mendominasi keseluruhan penulisan sampel karangan naratif yang dikaji dengan kekerapan tertinggi  (52%). Gaya bahasa perbandingan simile juga kerap digunakan oleh 19 sampel (47%). Sebaliknya unsur gaya bahasa perbandingan hiperbola kurang digunakan dalam karangan naratif pelajar, iaitu hanya 7 peratus sahaja. Manakala unsur gaya bahasa perbandingan personifikasi hanya digunakan oleh 11 sampel atau 27 peratus sahaja. Dapatan juga menunjukkan wujudnya unsur gaya bahasa eufemisme dalam karangan naratif pelajar (30%).  Jadual 2 menunjukkan penggunaan jenis-jenis gaya bahasa perbandingan dalam karangan pelajar yang dikaji.
Bil.
Gaya bahasa perbandingan
Peratus (%)
1.
Simile
47
2.
Metafora
52
3.
Hiperbola
7
4.
Personifikasi
27
5.
Eufemisme
30

JADUAL 2: Penggunaan jenis gaya bahasa perbandingan dalam karangan naratif pelajar
Penggunaan unsur gaya bahasa berdasarkan jantina dan minat pelajar
Berdasarkan soal selidik  sampel kajian, penggunaan unsur gaya bahasa pelajar  perempuan adalah lebih tinggi (64%) berbanding pelajar lelaki. Pelajar perempuan mengutamakan dan mengambil berat tentang arahan soalan yang diberikan berbanding pelajar lelaki. Dari segi minat pula, pelajar perempuan (55%) lebih meminati penulisan karangan naratif dan puisi berbanding pelajar lelaki. Manakala dalam memahami penggunaan unsur-unsur gaya bahasa, pelajar lelaki dan perempuan (20%) tidak menggunakan unsur-unsur gaya bahasa dalam penulisan karangan dan puisi kerana mereka tidak faham.
Penulisan yang dianggap ‘gaya yang tidak bergaya’ ditemui  dalam penulisan karangan naratif iaitu (27%). Sehubungan dengan itu, dapatan menunjukkan sampel kajian  lelaki (20%)  menulis menggunakan gaya bahasa tersebut. Ini adalah memandangkan peribadi sampel kajian  lelaki yang tidak mengambil berat dengan penulisan mereka dan menganggap tidak penting. Manakala bagi sampel kajian  perempuan hanya didapati 15 peratus sahaja daripada segi penggunaannya.
Berdasarkan dapatan kajian menunjukkan bahawa jenis gaya bahasa perbandingan hiperbola dan personafikasi yang kurang ditonjolkan oleh sampel kajian. Hasil soal selidik, 37 peratus sampel tidak berminat dalam penulisan karangan naratif dan kurang mengetahui tentang unsur-unsur gaya bahasa.  Hasilnya tahap bahasa penulisan mereka kurang bermutu dan kurang kreatif. Gaya yang tidak bergaya atau tidak adanya gaya bahasa didapati wujud di dalam karangan naratif mereka.
Kajian juga mendapati unsur eufemisme telah wujud dalam  penulisan karangan naratif mereka. Hasil soal selidik kajian, 70 peratus sampel perempuan telah menggunakan unsur ini . Hal ini juga menunjukkan pelajar perempuan memang menggunakan kata-kata halus dalam pengucapan mereka  berbanding lelaki. Dapatan juga menunjukkan, sampel perempuan berhati-hati di dalam penulisan mereka agar bahasa yang digunakan menjadi halus dengan ungkapan yang lembut. 65 peratus sampel kajian juga menunjukkan minat dalam penggunaan unsur-unsur gaya bahasa. Dalam hal ini, menurut Rahman Shaari (1993:45) kemahiran penggunaan eufemisme adalah salah satu tanda yang membuktikan bahawa seseorang itu mahir berbahasa.
Bagi mengukuhkan lagi dapatan kajian, unsur gaya bahasa harus wujud dalam penulisan karangan naratif pelajar menengah enam atas kerana mereka telah mempunyai asas dalam gaya bahasa penulisan di menengah enam bawah lagi. Kenyataan ini telah dinyatakan sendiri oleh guru-guru yang mengajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, hasil temu bual dengan guru-guru adalah seperti berikut;
Guru A : “Saya tidak faham mengapa pelajar-pelajar masih tidak memahami jenis-jenis gaya bahasa. Mereka telah diajarkan pada peringkat menengah enam bawah lagi dan tidak ada alasan merek mengetahuinya”.

Guru B : “Setiap sesi pengajaran karangan, kami sebagai guru bahasa Melayu  akan menekankan aspek gaya bahasa sama ada dalam penulisan karangan atau puisi”.
           
Berdasarkan dapatan kajian melalui soal selidik, 10 peratus sampel tidak berminat dengan penulisan karangan naratif dan mereka tidak cenderung dalam bidang penulisan naratif.
Kesimpulan, implikasi kajian dan cadangan
Kesimpulannya, sampel kajian masih belum begitu mahir dalam menggunakan gaya bahasa yang melambangkan nilai estetik dalam penulisan karangan mereka. Kurangnya penggunaan gaya bahasa perbandingan dalam karangan jenis naratif sering ditemui dalam penulisan yang bercorak kreatif.  Dalam konteks pelajar prauniversiti, kelemahan ini sepatutnya tidak wujud jika pelajar mampu berfikiran secara kreatif dalam mengolah idea dalam gaya bahasa yang telah pernah mereka pelajari. Mereka telah mempunyai asas dalam gaya bahasa penulisan di menengah enam bawah lagi.    
Implikasi kajian ini terhadap kurikulum adalah wujudnya keperluan dan kepentingan mengajarkan aspek gaya bahasa dalam penulisan karangan tahap prauniversiti.  Penggunaan gaya bahasa dalam karangan naratif dapat meningkatkan lagi mutu penulisan pelajar.  Implikasi kajian terhadap amalan pedagogi menunjukkan pengajaran menulis karangan menggunakan gaya bahasa yang betul dapat memudahkan pelajar menulis karangan.  Di samping itu, kajian ini juga dapat memberi ruang kepada pendidik bahasa meningkatkan mutu pengajaran menulis karangan naratif.  Untuk tujuan tersebut, aspek latihan guru bahasa perlu memberi penekanan kepada penguasaan menulis karangan naratif.  Implikasi kajian ini juga memerlukan guru bahasa memiliki kemahiran menulis yang baik agar mereka dapat menunjukkan model penulisan yang baik kepada pelajar. 
Berdasarkan dapatan kajian, beberapa cadangan boleh dikemukakan untuk tujuan memperbaiki mutu penulisan karangan naratif pelajar.  Pertama, pendedahan secara spesifik perlu diberikan kepada pelajar kerana maklumat umum tentang penulisan tidak membantu mereka dapat menulis dengan baik. Untuk tujuan tersebut guru Bahasa Melayu perlu memberikan maklumat berkaitan penggunaan bahasa perbandingan dengan menggunakan teknik dan kaedah mengajar yang lebih sesuai.  Guru boleh memberikan senarai gaya bahasa yang boleh digunakan semasa menulis sesebuah karangan.  Walau bagaimanapun, pelajar perlulah memahami maksud dan jenis gaya bahasa terlebih dahulu sebelum menggunakan dalam penulisan mereka.  Cadangan lain adalah dengan memantapkan penguasaan guru dalam mengajarkan gaya bahasa dalam penulisan karangan.  Mereka perlu diberikan latihan dalaman tentang kaedah mengajarkan karangan naratif.  Disebabkan karangan naratif memerlukan idea yang kreatif, maka unsur kreativiti dalam penulisan juga perlu diberi keutamaan dalan proses latihan.  Oleh  itu, pelajar perlu didedahkan cara menulis karangan naratif menerusi latihan yang secara sistematik dan model penulisan yang sesuai.




BIBLIOGRAFI
Asmah Haji Omar (2006).  Panduan wacana akademik: Teori dan penerapan.  Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.

Chong Ah Fok (1997). Gaya aliran: Cerpen-cerpen di majalah Bahana Januari-April 1993.  Bahana, 1, 12-18.

Gorys Keraf (1981). Diksi dan gaya bahasa. Jakarta: Nusa Indah

Ismail Ahmad (1992).  Keterampilan menulis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

___________  (2002). Penulisan saintifik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Kamus Linguistik (1997). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Keris Mas (1988). Perbincangan gaya bahasa sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
         dan Pustaka

Kridalaksana, Harimurti (1984). Kamus linguistik (Edisi kedua). Jakarta: Penerbit PT
       Gramedia.

Kamsiah H. Abdullah  (1993). Karangan naratif dan laporan-satu kajian tentang
matlamat fungsional dan prestasi murid-murid sekolah menengah di Singapura.Jurnal Dewan Bahasa.37(6),484-493.

Maniyamin Haji Ibrahim (2006). Gaya bahasa kiasan penggunaan dan keberkesanan-
       nya dalam sajak. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.
      
Mohd Azhar Su (2005) Gaya bahasa dalam novel remaja Khairuddin Ayip.Tesis Masters, Universiti Putra Malaysia

Mohd. Sofri bin Haji Md Said (1990). Gaya bahasa lima orang penyair dalam
       antologi puisi Lagu Hari Depan. Latihan IlmiahSarjana Muda Pendidikan. Universiti
       Brunei Darussalam.

Noni Ratina bte Haji Japah (2007). Analisis karangan naratif bagi pelajar menengah
       atas: Satu kajian. Tesis Sarjana. FASS. Universiti Brunei Darussalam.

Rachmat Djoko Prodopo (1995). Beberapa teori sastera, metode kritik dan
       penerapannya. Yogyakarta: Pustaka Pelajar.

Rahman Shaari (1993). Memahami gaya bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
       Pustaka.

____________ (2001). Bimbingan istilah sastera. Kuala Lumpur: Utusan Publications
       Sdn. Bhd.

Rozaiman Makmun (2011). Stilistik:  Manipulasi gaya bahasa aliran.  Brunei Darussalam:  Dewan Bahasa Dn Pustaka Brunei

Tarigan, Henry Guntur (1995).  Pengajaran wacana.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

___________________________ (1985). Pengajaran Gaya Bahasa. Bandung: Penerbit
       Angkasa Bandung.

Umar Junus (1989). Stilistik satu pengantar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
       Pustaka.
__________ (2010). Gaya bahasa sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
       Pustaka.


No comments:

Post a Comment